Indonesia bangga dengan jaguh pecut baru 100 meter


Lalu Muhammad Zohri dinobatkan raja pecut baru dunia bawah 20 tahun selepas menang pingat emas acara 100 meter Kejuaraan Olahraga Dunia di Tampere, Finland semalam. – Gambar Twitter, 13 Julai, 2018.

ATLET Indonesia Lalu Muhammad Zohri terus mendapat penghargaan dari pelbagai pihak, daripada presiden sampailah kepada tentera dan rakyat republik itu, selepas beliau membukti kejaguhannya jadi raja pecut baru dunia bawah umur 20 tahun, lapor media.

Zohri semalam menang pingat emas acara 100 meter Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 yang berlangsung di Tampere, Finland.

Jokowi hari ini mengundang Zohri untuk datang ke Istana Presiden, lapor portal berita Detik.com.

Presiden itu juga mengarahkan Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono untuk membaik pulih rumah atlet itu di Lombok, Nusa Tenggara Barat.

“Nanti saya sudah (undang ke Istana), kalau bukan Sabtu, Isnin. Tadi pagi saya perintahkan ke Menteri PU (Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat) sebagai ungkapan rasa bangga masyarakat Indonesia, saya perintah untuk bangun rumah Zohri,” kata Jokowi, seperti dipetik portal berita itu.

Kejayaan Zohri di balapan menarik perhatian ramai kerana atlet ini yatim piatu, hidup sederhana di Lombok, dan kerana miskin, berlatih berlari tanpa kasut.

Sementara itu Antara melaporkan, Zohri turut mendapat perhatian pemimpin tentera yang menawarkan beliau menyertai Tentera Nasional Indonesia, sekiranya berminat.

Zohri, 18, mencatatkan masa 10.18 saat mengalahkan dua pelari pecut Amerika Syarikat,  Anthony Schwartz dan Eric Harrison, yang sama-sama menyelesaikan larian 100 meter dalam masa 10.22 saat.

Ini pencapaian terbaik Indonesia dalam acara pecut di kejohanan itu, sejak atletnya menduduki tempat kelapan dalam saringan pada 1986.

“Prestasi yang ditorehkan Zohri tentu sangat membanggakan kita semua, bangsa Indonesia. Terlebih lagi, kita dapat melihat bagaimana Zohri tidaklah diperhitungkan sama sekali,” kata Jokowi, dipetik portal berita Merdeka.

Zohri turut memecahkan rekod kebangsaan 10.25 saat bagi kategori junior yang beliau pegang sendiri sebelum ini.

Catatan masa Zohri di Finland minggu ini juga mendekati rekod kebangsaan Indonesia 10.17 saat yang dicipta dalam Sukan SEA 2009 oleh Suryo Agung Wibowo, atlet yang digelar raja pecut Asia Tenggara. Wibowo dua kali memecahkan rekod Sukan SEA dan memecahkan rekod kebangsaan yang bertahan selama 20 tahun. – 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen