DR Ting Tiong Choon akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan speaker Sarawak untuk membatalkan kelayakan Adun Pakatan Harapan itu.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan berasingan 2-1 hari ini menolak rayuan speaker Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan Kedua negeri Wong Soon Koh dan persidangan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun 2017 bahawa sidang dewan itu telah bertindak di luar kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting sebagai Adun.
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dan Harminder Singh Dhaliwal menyokong keputusan mahkamah tinggi manakala hakim Mary Lim menyuarakan sebaliknya.
Kedua-dua Abang Iskandar dan Hariminder dalam keputusan mereka untuk menolak rayuan tersebut berkata dewan negeri itu bertindak melampaui bidang kuasanya untuk membatalkan kelayakan Ting berhubung kewarganegaraannya di Australia.
Abang Iskandar dalam penghakimannya berkata sidang dewan negeri hanya mempunyai kuasa untuk menentukan status ahli yang hilang kelayakan selepas pilihan raya dan bukan sebelumnya.
Beliau berkata bagi sidang dewan negeri itu untuk kembali ke arah menentukan status seseorang sebelum dia dipilih, akan melangkaui sidang dewan “yang pada pandangan saya tidak mempunyai sokongan perlembagaan dalam perlembagaan negeri”.
Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei tahun lepas membatalkan kelayakan doktor perubatan berusia 51 tahun berikutan kewarganegaraan Australia yang dimohonnya pada 2010 ketika tinggal di Australia.
Dr Ting, yang tidak pernah melepaskan kewarganegaraan Malaysia, melepaskan kewarganegaraan Australianya pada 4 April 2016 - kira-kira tiga minggu sebelum pilihan raya negeri - supaya dia dapat kembali untuk bertanding dan mengundi.
Dalam pertandingan empat penjuru, beliau mendaoat 8,899 undi mengatasi pencabar terdekatnya, calon BN Hii King Chiong yang mendapat 7,140 undi.
Dua lagi calon, Jofri Jaraie dari PAS, mendapat 5113 undi dan calon bebas Fong Pau Teck, yang meraih 357 undi.
Calon BN itu kemudiannya membawa keputusan itu ke mahkamah untuk mendapatkan deklarasi bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah dan terbatal kerana Dr Ting sepatutnya hilang kelayakan berikutan beliau merupakan warganegara Australia. – 13 Julai, 2018
Berita penuh di sini.
Komen