SEJUMLAH 313 kanak-kanak warga Honduras yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka susulan polisi “toleransi sifar” polis imigresen Amerika Syarikat (AS), dikenal pasti oleh kakitangan konsular Honduras, kata seorang pegawai.
Pengarah Perlindungan Migran Honduras, Liza Medrano, memaklumkan satu sidang akhbar bahawa para pegawai konsular negara itu di AS melawat pusat-pusat perlindungan dalam usaha mencari kanak-kanak terbabit selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan penyatuan semula keluarga-keluarga pendatang yang dipisahkan.
Medrano berkata keluarga terbabit sepatutnya disatukan pada 26 Julai, dengan pihak berkuasa berusaha mengumpul maklumat lengkap berhubung kanak-kanak yang dikenal pasti.
Beliau berkata sesetengah ibu bapa memilih meninggalkan anak mereka di AS di bawah jagaan orang lain semasa pulang ke Honduras, namun berkata jumlahnya masih dikemas kini.
Kerajaan AS dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa kerana memisahkan ribuan keluarga secara paksa, kebanyakan mereka berasal dari Amerika Tengah dan mencari suaka susulan keganasan di negara asal.
Kritikan itu menyebabkan Trump menggantung langkah pemisahan itu, yang diarah dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran beliau untuk menghalang migran menyeberangi sempadan Mexico secara haram. – Bernama, 13 Julai, 2018.
Komen