SYARIKAT gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Johnson&Johnson (J&J) pada Khamis diperintahkan membayar ganti rugi AS$4.69 bilion dalam kes saman 22 wanita dan keluarga mereka yang mendakwa bedak talkum dijual syarikat itu mengandungi asbestos dan menyebabkan kanser.
Ini adalah perkembangan terkini berhubung perkara itu yang menyaksikan ribuan tindakan undang-undang difailkan terhadap J&J.
Menurut peguam mangsa, Mark Lanier, panel juri yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita di St. Louis, Missouri, memutuskan berpihak kepada plaintif selepas enam minggu perbicaraan dan lapan jam perbincangan. Ganti rugi termasuk AS$550 juta pampasan dan lebih AS$4.1 bilion dalam ganti rugi punitif.
Plaintif berkata menggunakan bedak talkum untuk kebersihan diri menyebabkan kanser ovari.
“Selama lebih 40 tahun, J&J melindungi bukti asbestos dalam produk mereka,” kata Lanier dalam satu kenyataan.
“Kami berharap keputusan ini akan mendapat perhatian lembaga J&J dan ia akan mendorong mereka memaklumkan kepada komuniti perubatan dan orang ramai mengenai kaitan antara asbestos, bedak talkum dan kanser ovari,” katanya sambil menggesa bedak talkum itu ditarik daripada pasaran.
J&J berkata ia “sangat kecewa dengan keputusan itu.”
Dalam satu kenyataan, ia menyifatkan perbicaraan itu sebagai “proses tidak adil yang membenarkan plaintif mengemukakan sekumpulan 22 wanita, yang sebahagian besarnya tidak mempunyai hubungan dengan Missouri, dalam kes tunggal yang mendakwa mereka mengalami kanser ovari.”
“Keputusan itu, yang memberikan jumlah sama kepada semua plaintif tanpa mengira fakta masing-masing, dan perbezaan dalam undang-undang yang berlaku, mencerminkan keterangan dalam kes itu berlandaskan prejudis terhadap prosiding.”
Syarikat itu mengatakan bedak talkumnya tidak mengandungi asbestos atau menyebabkan kanser ovari, dan bersumpah akan membuat rayuan.
Beberapa perbicaraan serupa sudah diadakan, dengan mahkamah rayuan Los Angeles pada Oktober lepas menolak keputusan AS$417 juta terhadap J&J, mengatakan hujah pengadu tidak mencukupi dan samar-samar. – AFP, 13 Julai, 2018.
Komen