PARLIMEN Portugal pada Khamis meluluskan undang-undang yang membolehkan rakyatnya menukar nama dan jantina dari usia 16 tahun tanpa laporan perubatan yang menunjukkan “gangguan identiti”.
Portugal bersama Denmark, Malta, Sweden, Ireland dan Norway menjadi “negara Eropah keenam memberikan hak penentuan identiti transgender sendiri ... tanpa sokongan pihak ketiga dan tanpa diagnosis gangguan identiti,” kata Sandra Cunha, ahli Parlimen dari Blok Kiri.
“Tiada siapa memerlukan pihak ketiga untuk mengetahui sama ada mereka seorang lelaki atau wanita, budak lelaki atau remaja perempuan,” katanya dalam perbahasan parlimen sebelum pengundian.
Perubahan jantina dan nama akan tetap bebas daripada sebarang kemungkinan pembedahan pertukaran jantina.
Undang-undang yang berkuat kuasa sejak 2011 memerlukan warga transgender mempunyai diagnosis perubatan bagi dysphoria jantina - apabila jantina tidak sesuai dengan seks biologi.
Undang-undang baru itu kini harus ditandatangani Presiden Marcelo Rebelo de Sousa, yang menggunakan kuasa veto terhadap versi pertama teks yang diguna pakai oleh Parlimen pada pertengahan April.
Ketua negara itu inginkan keperluan laporan perubatan bagi kes yang melibatkan anak di bawah usia 16 hingga 18 tahun untuk menyokong keputusan mereka.
Beliau bagaimanapun memihak kepada prinsip tidak lagi mempertimbangkan identiti transgender sebagai “patologi atau keadaan mental tidak normal”.
Oleh itu, bahagian undang-undang mengenai anak-anak bawah umur itu dipinda dan laporan perubatan “yang membuktikan secara eksklusif kemampuan keputusan dan kehendak yang dimaklumi, tanpa rujukan terhadap diagnosis identitas gender” akan diperlukan.
Undang-undang yang diluluskan pada itu juga melarang prosedur pembedahan pada bayi interseks, yang dilahirkan dengan organ pembiakan lelaki dan wanita, supaya mereka sendiri boleh memilih sendiri jantina kelak. – AFP, 13 Julai, 2018.
Komen