SYURGA bebas cukai Andorra sekian lama menjadi destinasi kegemaran para perokok untuk mendapatkan rokok murah, namun negara itu berkata pada Khamis yang ia akan berhenti mengiklankan fakta itu.
Kerajaan itu berkata ia sudah menandatangani konvensyen anti tembakau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bagi mengalakkan orang ramai berhenti merokok dan memerangi jualan barangan gelap.
“Matlamatnya adalah untuk menyumbang kepada kesihatan awam dan meneruskan perjuangan menentang penyeludupan,” kata jurucakap kerajaan Jordi Cinca pada satu sidang media.
Andorra merupakan negara kecil yang terletak di Pyrenees di sempadan antara Perancis dan Sepanyol, menarik jutaan pembeli-belah setiap tahun ke kedai bebas cukai, di mana harga alkohol, rokok, elektronik dan pakaian boleh didapati sehingga 20% lebih murah dari tempat lain di negara-negara Kesatuan Eropah.
Kebanyakan negara mengenakan cukai yang tinggi ke atas produk tembakau untuk membantu orang ramai berhenti merokok.
Sekotak rokok di Andorra dijual pada harga tiga euro berbanding lapan euro di Perancis.
Andorra mengaut keuntungan sebanyak 110 juta euro setahun melalui penjualan produk tembakau.
Ia juga menjadi destinasi menarik bagi penyeludup. Pihak berkuasa di sempadan Perancis dan Sepanyol sering melakukan rampas berkaton-katon kotak rokok daripada penyeludup yang cuba membawa keluar barangan tersebut, sama ada melalui kereta atau berjalan kaki merentasi bukit-bukau.– AFP, 12 Julai, 2018.
Komen