BEATE Zschaepe, yang merupakan ahli terakhir kumpulan pengganas Neo Nazi dikenali sebagai National Socialist Underground (NSU), telah dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat, lapor agensi berita China Xinhua pada Rabu.
Sebuah mahkamah Munich mendapati Zschaepe, 43, bersalah membantu dan bersubahat melakukan serangan maut ke atas beberapa keluarga pendatang serta seorang anggota polis wanita antara tahun 2000 dan 2007.
Mahkamah itu memutuskan bahawa terdapat unsur kebersalahan yang begitu kukuh dalam kes Zschaepe dan bersetuju dengan permintaan pihak pendakwaan untuk mensabitkan wanita tersebut dengan 10 pertuduhan membunuh.
Ini menandakan pengakhiran satu daripada perbicaraan terbesar dan paling kompleks di Jerman sejak Perang Dunia Kedua.
Dibentuk pada 1999, NSU merupakan sel pengganas Neo Nazi yang dianggotai oleh Uwe Mundlos, Uwe Boehnhardt dan Beate Zschaepe.
Dalam tempoh lapan tahun berikutnya, mereka telah merancang pembunuhan lapan rakyat Jerman berketurunan Turki, seorang rakyat Jerman berketurunan Greek dan seorang anggota polis wanita Jerman.
Kumpulan Neo Nazi itu turut melakukan 15 rompakan dan bertanggungjawab melancarkan serangan bom paip di Cologne pada 2004, yang menyebabkan 22 orang cedera.– Bernama, 12 Julai, 2018.– Bernama, 12 Julai, 2018.
Komen