23 tentera Afghanistan terbunuh dalam pertempuran dengan militan Taliban


Sekurang-kurangnya 23 anggota tentera Afghanistan terbunuh manakala 13 lagi cedera selepas militan Taliban menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di Qarluq dalam daerah Archi yang terletak di utara wilayah Kunduz pada Rabu.– Gambar AFP, 12 Julai, 2018.

SEKURANG-kurangnya 23 anggota tentera Afghanistan terbunuh manakala 13 lagi cedera selepas militan Taliban menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di Qarluq dalam daerah Archi yang terletak di utara wilayah Kunduz pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

“Pertempuran berlangsung selama berjam-jam dan menyebabkan enam anggota tentera serta seorang anggota polis maut. Anggota pasukan keselamatan turut cedera dalam pertempuran itu,’’ kata gabenor daerah Nasruddin Nazari kepada Xinhua.

Militan Taliban turut menyerang sebuah kem tentera di Pul-e-Momin yang terletak di timur daerah Archi dan membunuh 17 anggota tentera serta mencederakan 11 lagi.

Beberapa anggota militan turut terbunuh dan cedera dalam pertempuran tersebut, namun jumlahnya tidak dapat dipastikan kerana kumpulan pengganas tersebut mengalihkan jasad mereka selepas pertempuran itu, kata Nasruddin.

Kunduz, wilayah jiran Baghlan dan Takhar menyaksikan pertempuran sengit sejak beberapa bulan kebelakangan ini ketika Taliban cuba mencabar pasukan keselamatan kerajaan di kawasan yang sebelum ini aman.

Kemalangan jiwa di pihak pasukan keselamatan Afghanistan semakin meningkat sejak awal 2015 apabila tentera dan polis Afghanistan mengambil alih kawalan keselamatan daripada tentera Amerika Syarikat dan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara).– Bernama, 12 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen