SURUHANJAYA Kebajikan dan Integriti Greyhound kini berdepan situasi yang serius selepas sebuah kubur besar mengandungi banyak bangkai anjing lumba baka itu ditemui di hartanah milik seorang pelatih anjing berlesen di pinggir bandar Sydney, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah kumpulan pencinta haiwan di Australia pada Khamis.
Menurut kenyataan Persatuan Diraja Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) New South Wales, penemuan itu merupakan kes terbaharu berhubung dakwaan kekejaman dalam industri lumba anjing Greyhound yang kontroversi.
Dalam insiden itu, inspektor haiwan menemui bangkai sekurang-kurangnya sembilan ekor anjing baka Greyhound di kawasan Taman Marsden pada awal bulan ini.
Lebih 10 ekor anjing yang sakit dan kurus turut ditemui (di kawasan berhampiran), kata RSPCA New South Wales.
Agensi berita itu melaporkan kesemua anjing kemudian diserahkan kepada kumpulan tersebut yang mendakwa sedang menyiasat kes-kes kekejaman serius terhadap haiwan terbabit dengan bantuan suruhanjaya berkenaan.
Suruhanjaya itu merupakan pengawal selia bebas industri lumba anjing Greyhound NSW dan telah mula beroperasi bulan ini, selaras dengan usaha untuk memperbaiki kebajikan haiwan tersebut.
Penemuan terkini berhubung dakwaan kekejaman dalam industri lumba anjing berlaku kira-kira dua tahun selepas perdana menteri ketika itu, Mike Baird, mengharamkan perlumbaan Greyhound namun menarik balik arahan itu selepas berlaku perdebatan hangat mengenai amalan tersebut.
Penalti bagi kesalahan melakukan kekejaman terhadap haiwan di negeri itu termasuk hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda 22,000 dolar Australia (US$16,250).– Bernama, 12 Julai, 2018.
Komen