Pengambilan pekerja, gaji dijangka meningkat pasca PRU14


Prospek pengambilan pekerja di Malaysia meningkat selepas Pilihan Raya Umum 9 Mei, dengan 63% daripada majikan optimis untuk mengambil pekerja, manakala 36% peratus daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk menaikkan gaji sehingga 5%, menurut kajian yang dijalankan laman web iklan pekerjaan Jobstore.com.– Gambar EPA, 12 Julai, 2018.

PROSPEK pengambilan pekerja di Malaysia meningkat selepas Pilihan Raya Umum 9 Mei, dengan 63% daripada majikan optimis untuk mengambil pekerja, manakala 36% peratus daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk menaikkan gaji sehingga 5%, menurut tinjauan laman web iklan pekerjaan Jobstore.com.

Kajian itu turut mendapati bahawa 48% majikan akan meningkatkan aktiviti pengambilan kerja mereka tahun ini, menurut “Laporan Tinjauan Gaji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)” yang dikeluarkan hari ini.

“Ini merupakan peningkat sebanyak 12% berbanding sebelum PRU14. Hanya 15% majikan yang dinyatakan akan mengekalkan kadar sama pengambilan pekerjaan,” kata laporan itu.

Hasil tinjauan itu diambil daripada aktiviti atas talian 1.2 juta pencari pekerjaan, pengurus sumber manusia, pengrekrut dan pemilik syarikat.  

Pengurus Jobstore.com Carmen Chong berkata tinjauan itu menunjukkan keyakinan majikan yang berkait dengan peningkatan sebanyak 11% siaran iklan pekerjaan, dengan 5% daripadanya adalah pekerjaan tahap eksekutif, selepas pilihan raya umum tersebut.

Dengan meningkatnya aktiviti pengambilan kerja, Chong berkata majikan harus menepati kehendak pekerja supaya dapat kekal kompetetif dalam menarik dan mengekalkan bakat.

Selain gaji yang lebih tinggi, pekerja juga mencari faedah lain antaranya insuran kesihatan, elaun pengangkutan dan dana persaraan.

“Pada asasnya, penting bagi majikan untuk mencari keseimbangan antara faedah yang diingini pekerja, dan menawarkan faedah untuk mengekalkan dan menarik bakat.

“Peningkatan gaji adalah langkah pertama untuk menarik bakal bakat,” katanya.– 12 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen