KEGAGALAN Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan akan membolehkan DAP menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara ini, dakwa Lokman Noor Adam.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata parti Melayu itu bimbang perkara itu sudahpun berlaku kerana mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikawal oleh DAP untuk melaksanakan agenda tersebut.
“Sungguhpun perdana menteri itu Melayu dan beragama Islam, namun apabila pemimpin parti yang hanya mempunyai 13 kerusi diangkat sebagai perdana menteri, beliau memerintah mengikut kehendak 42 orang MP (ahli parlimen) DAP yang meletakkan pisau dilehernya.
“Sempena ulangtahun Tun Mahathir yang ke 93 ini, mari kita doakan semoga Allah memanjangkan usianya, memurahkan rezekinya dan membuka hatinya untuk kembali ke jalan Allah.
“Moga beliau diberikan hidayah untuk menyatukan hati MP Islam di Malaysia bagi membentuk sebuah kerajaan campuran baru yang bebas DAP demi menyelamatkan agama, bangsa, tanahair dan Raja-Raja Melayu,” kata Lokman dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, DAP bukanlah parti dengan kerusi terbanyak dalam Parlimen. Jumlah kerusianya kurang tujuh berbanding PKR yang mempunyai 49 kerusi.
Lokman berkata, Pemantau Malaysia Baru (PMB) yang diketuainya akan berkumpul di tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 8 pagi Isnin ini, sebelum berarak ke Parlimen ketika keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke majlis angkat sumpah ahli Dewan.
“Semua rakyat Malaysia dijemput hadir dengan membawa pita pelekat dan tali. Kita tidak akan menjerit atau terpekik terlolong kali ini.
“Sebagai simbolik hilangnya hak YDP Agong untuk bersuara dan menjalankan tanggungjawab baginda mempertahankan Islam dan kepentingan bangsa Melayu, kita akan berarak dengan mulut ditutup dengan pita pelekat dan tangan diikat.” – 12 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan