PH kini bersedia berjuang bela rakyat, pulihkan negara


BERSYUKUR ke hadrat Allah kerana akhirnya Bersatu, PKR, DAP dan Amanah mencapai kata sepakat membentuk kesatuan politik lebih jitu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan pembentukan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan (PH).

Ini adalah mercu tanda baharu dalam politik tanah air yang akan menggalas harapan rakyat untuk menyaksikan perubahan besar politik negara ke arah pembentukan kerajaan lebih demokratik, adil dan menyantuni keperluan rakyat.

Dengan struktur kepimpinan baharu ini, saya yakin PH akan mampu bergerak lebih mantap untuk membela nasib rakyat. Saya ingin mempertegaskan agenda PH untuk mewujudkan kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik serta memberikan keutamaan kepada usaha untuk memajukan ekonomi dan meringankan beban rakyat.

Ini termasuk menghapuskan GST, mengawal kenaikan harga barang, memerangi rasuah hingga ke akar umbi dan melakukan reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

PH juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB dan mendapatkan kembali wang rakyat yang dicuri daripada 1MDB. Langkah juga akan diambil untuk memulihkan Felda dan membela nasib para peneroka.

Dengan pengalaman luas pimpinan PH di dalam pentadbiran kerajaan, termasuk seorang mantan perdana menteri, dua mantan timbalan perdana menteri, seorang mantan menteri besar dan dua menteri besar serta ketua menteri.

Selain itu, ramai lagi pimpinan yang lama berkhidmat sebagai wakil rakyat dan lain-lain, saya percaya PH akan dapat mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul dan mengurus negara dengan cemerlang.

PH juga akan terus mendokong dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia termasuk kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemuliaan institusi raja Melayu sebagai raja berperlembagaan.

Saya percaya gandingan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Anwar Ibrahim sebagai ketua umum akan memantapkan barisan kepimpinan PH dalam mengemudi gabungan politik baharu untuk menyongsong perubahan politik di negara ini.

Saya berasa amat bersyukur kerana kedua-dua tokoh ini adalah amat dekat dengan saya ketika berada di dalam kerajaan, kususnya semasa saya dan Anwar menganggotai Kabinet Dr Mahathir.

Kini, kami kembali bertaut semula dalam saf perjuangan politik baharu bersama rakan seperjuangan lain untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul dan membina semula negara ini sebagai sebuah negara yang sejahtera dan dihormati dunia.

Saya berdoa semoga PH dapat memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat untuk memulakan satu perjalanan ke arah membina sebuah negara lebih baik. Keputusan yang dicapai di dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin untuk memuktamadkan satu barisan kepimpinan yang mantap, beramanah dan teruji adalah satu muafakat politik yang amat bersejarah.

Insya-Allah, dengan dokongan rakyat seluruhnya dan izin Allah bahtera PH akan berjaya melayari samudera perjuangan untuk membela rakyat dan memulihkan negara.  – 15 Julai, 2017.

* Muhyiddin Yassin adalah presiden Bersatu.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen