POLIS memulakan siasatan ke atas insiden serangan siber pada Khamis selepas satu daripada firma keselamatan penerbangan terkemuka Australia, Aviation ID Australia, digodam.
Bertanggungjawab mengeluarkan Kad Pengenalan Keselamatan Penerbangan (ASIC), Aviation ID Australia adalah sebuah syarikat swasta yang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan lapangan terbang negara di negara itu bagi memerangi ancaman keganasan serta jenayah terancang.
Menurut agensi berita China Xinhua, kakitangan yang bertugas di zon terhad lapangan terbang, termasuk juruterbang, pengendali bagasi dan tukang cuci, perlu memiliki ASIC untuk mengakses kawasan itu.
Pada Rabu, ratusan pemohon yang sedang dalam proses memohon, atau memperbaharui ASIC mereka menerima satu e-mel daripada Aviation ID Australia yang memberi amaran maklumat peribadi sensitif mereka dicerobohi.
“Bahagian tempatan laman sesawang kami diakses dengan sengaja oleh satu entiti yang tidak memiliki kebenaran untuk berbuat demikian,” kata Pengarah Urusan syarikat itu, Ian Barker, kepada stesen penyiar Australian Broadcasting Corporation.
“Malangnya, kami tidak boleh mengesahkan secara tepat maklumat yang diakses, bagaimanapun maklumat peribadi yang mungkin dicerobohi termasuk nama, alamat jalan, nombor sijil kelahiran, nombor lesen memandu, nombor kad Medicare dan nombor ASIC.”
Berbekalkan ketakutan maklumat yang dicuri boleh digunakan oleh kumpulan pengganas dan sindiket jenayah terancang, insiden terkini itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan lapangan terbang Australia dan badan yang bertanggungjawab mengawasi program ASIC iaitu Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam.
Tahun lepas, laporan Parlimen persekutuan yang diperoleh di bawah Akta Kebebasan Maklumat Australia mengesan beberapa kegagalan sistem ASIC, dan mendedahkan sejumlah 20% kakitangan bukan kastam yang memiliki akses ke pesawat didapati memiliki sabitan jenayah.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai mereka yang bertanggungjawab melakukan penggodaman itu. – Bernama, 12 Julai, 2018.
Komen