Pemberontak setuju serah senjata kepada tentera Syria


Kesepakatan di Daraa al-Balad adalah yang terkini dalam beberapa siri perjanjian dimeterai antara Rusia, yang mewakili kerajaan Syria, dengan pelbagai kumpulan pemberontak di Daraa. – Gambar EPA, 12 Julai, 2018.

PEMBERONTAK di Daraa al-Balad pada Rabu bersetuju menyerahkan senjata mereka kepada tentera Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita rasmi SANA.

Langkah menyerahkan senjata api berat dan sederhana kepada pihak tentera bakal menyaksikan sama ada pemberontak terbabit bersetuju memulakan proses perdamaian untuk kekal di Daraa atau berpindah ke kawasan yang dikuasai rakan mereka di utara Syria.

Daraa al-Balad terletak di selatan wilayah Daraa, di mana perang Syria bermula.

Kesepakatan di Daraa al-Balad adalah yang terkini dalam beberapa siri perjanjian yang dimeterai antara Rusia, yang mewakili kerajaan Syria, dengan pelbagai kumpulan pemberontak di Daraa.

Kempen ketenteraan Syria di Daraa telah berlangsung sejak 19 Jun.

Perjanjian pada Rabu dibuat sehari selepas pemberontak di empat bandar di barat laut kawasan pedalaman Daraa menerima perjanjian yang serupa.

Terdahulu pada hari yang sama, tentera memasuki bandar Tafas di barat kawasan pedalaman Daraa selepas pemberontak bersetuju memulakan proses perdamaian dengan tentera Syria.

Pada Rabu juga, pihak tentera mara ke barat kawasan pedalaman Daraa untuk ke Tal al-Ashari dan Jileen, menurut SANA.

Tentera Syria berjaya menawan kawasan di seluruh timur pedalaman Daraa, sama ada secara paksa atau menerusi perdamaian dengan pemberontak.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata pihak tentera menawan lebih 82% Daraa semasa serangan pasukan keselamatan itu yang bermula pada akhir bulan lepas. – Bernama, 12 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen