MAHKAMAH Switzerland menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang wanita warga Thailand, satu kes penyeludupan manusia yang dianggap terbesar di negara itu, lapor agensi berita Xinhua memetik media Swiss pada Rabu.
Wanita berusia 58 tahun itu didapati bersalah atas 75 tuduhan penyeludupan wanita miskin dan tidak berpendidikan, menurut mahkamah daerah Biel/Bienne, menurut agensi berita Swiss, SDA-ATS.
Tertuduh turut disabitkan bersalah kerana menggalakkan pelacuran dan pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibacakan pada 10 Julai dan menurut hakim, wanita tersebut didapati menjalankan aktiviti di beberapa wilayah Switzerland antara tahun 2009 dan 2014.
Kebanyakan mangsa sedar akan dijadikan pekerja seks tetapi tidak menyangka berdepan keadaan yang teruk selain terpaksa membayar balik hutang perjalanan.
Mahkamah dapati banyak mangsa dipaksa berkerja 24 jam sehari dan membayar balik hutang berjumlah 30,000 franc Swiss (AS$30,000).
Pelacuran adalah perdagangan yang dikawal selia di Switzerland dan dipantau pihak berkuasa tempatan, tetapi memaksa orang menjadi pelacuran adalah menjadi satu kesalahan. – Bernama, 12 Julai, 2018.
Komen