Misi menyelamat di gua Thai akan ke layar perak


Anggota pasukan penyelamat mengeluarkan salah seorang daripada kanak-kanak yang terperangkap dalam gua Tham Luang di utara Thailand. – Gambar EPA, 12 Julai, 2018.

MISI menyelamatkan 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak dari sebuah gua di Thailand mendapat perhatian syarikat penerbit filem Hollywood Pure Flix.

Rakan pengurusan Michael Scott, yang tinggal di Thailand dan berada di kawasan operasi menyelamat di Chiang Rai ketika mangsa dikeluarkan dari gua berkenaan, mengumumkan perkara itu menerusi Twitter pada Selasa. 

“Saya amat teruja. Kisah ini amat bermakna kepada saya kerana saya mengikuti perkembangannya di Thailand,” katanya dalam satu rakaman video yang dirkam di lokasi gua di utara negara itu.

“Isteri saya sebenarnya membesar bersama anggota SEAL tentera laut Thai yang terkorban dalam gua berkenaan. Untuk menyaksikan tindakan berani anggita penyelamat, dan untuk mengeluarkan semua penyelam, ia sangat menyentuh hati dan bermakna kepada saya.”

Satu rakaman video yang memaparkan beberapa ahli pasukan bola sepak “Wild Boars”—berusia antara 11 hingga 16 tahun—diselamatkan dari gua Tham Luang di atas pengusung, sekali gus menamatkan operasi tiga hari yang berjaya itu. 

Kesemua mereka berada dalam keadaan baik dari segi mental dan fizikal, kata doktor, walaupun selepas mengharungi 118 hari di dalam gua yang gelap dan basah sebelum operasi menyelamat yang berisiko tinggi dilancarkan yang mana ia disifatkan sebagai “misi mustahil”.

Isteri kepada Scott terlibat dalam urusan pengebumian Saman Kunan, bekas anggota SEAL yang terbunuh pada 6 Julai ketika cuba mmeberi bantuan mengisi tabung oksigen untuk persediaan operasi menyelamat itu. 

“Kami di sini amat menantikan filem ini yang mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia,” tambah Scott. 

“Dan kami menyaksikan peristiwa ini, mendapatkan beberapa hubungan dan semuanya, untuk menceritakan tentang bagaimana usaha antarabangsa, datang dari seluruh dunia untuk menyelamatkan 12 kanak-kanak yang terperangkap dalam gua Thai ini.”

Pengasas bersama Pure Flix David A.R.White memberitahu The Wall Street Journal, syarikat berkenaan—yang merupakan tulang belakang di sebalik trilogi “Gods Not Dead”—kini sedang mencari pelakon, penulis dan pelabur yang berpotensi. 

“Pure Flix bersama-sama seluruh dunia dalam bersyukur kepada tuhan kerana memakbulkan doa untuk kejayaan operasi menyelamat mereka yang terperangkap dalam gua di Thailand,” kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan. – AFP, 12 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen