SEORANG dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi hilang selepas kapal nelayan Sepanyol karam di perairan Argentina pada Rabu.
Namun 25 lagi anak kapal berkenaan berjaya diselamatkan, kata pihak tentera laut Argentina.
Kru kapal Dorneda ditemui terdampar di dalam dua buah rakit dan sebuah bot kecil, 308 batu nautika dari perairan Patagonia, Argentina, kata pihak tentera laut dalam satu kenyataan.
Kebanyakan daripada kru kapal terbabit adalah warga Sepanyol namun terdapat juga warga Maghribi, Peru dan Indonesia dalam kapal terbabit, kata jurucakap Enrique Balbi.
25 yang terselamat dan mayat anak kapal yang terbunuh dibawa ke darat menaiki dua buah bot, kata Balbi kepada AFP.
Satu daripada bot berkenaan menuju ke Puerto Madryn manakala satu lagi ke Montevideo, katanya.
Kapal Dorneda dipercayai terbalik selepas ia dibanjiri ari yang masuk menerusi dek belakang di mana pukat ikan ditarik, menurut Balbi.
“Air memasuki bilik enjin menyebabkan bekalan kuasa terputus, sekali gus menyebabkan kapal berkenaan gagal dikawal dalam ribut.”
“Menyedari kapal ini akan karam, kru bertindak meninggalkannya.” – AFP, 12 Julai, 2018.
Komen