Dana persaraan AS dijangka habis dalam tempoh 17 tahun


Jutaan rakyat Amerika bergantung kepada dana persaraan dan perubatan yang disediakan kerajaan. – Gambar AFP, 14 Julai, 2017.

DANA program persaraan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk orang tua akan habis dalam tempoh 17 tahun sekiranya dasar tidak diubah, kata Jabatan Perbendaharaan AS semalam.

Keselamatan Sosial, dana persaraan era Kemelesetan Ekonomi akan habis pada 2034 di bawah dasar sedia ada, menurut laporan tahunan agensi itu.

Sementara itu, dana Medicare yang memberikan perlindungan insuran hospital pula hanya akan mampu membayar faedah kesihatan sepenuhnya sehingga 2029.

Program insuran kesihatan Medicare dan Keselamatan Sosial ialah perbelanjaan terbesar kerajaan pusat AS. Hampir 50 juta rakyat Amerika menerima faedah persaraan tahunan, dan 57 juta orang lagi menerima perlindungan insuran Medicare.

“Jutaan rakyat Amerika bergantung kepada program ini, dan penting untuk kita memastikan kelangsungannya,” kata Perbendaharaan dalam satu kenyataan.

“Gabungan peningkatan rakyat berusia dan pertumbuhan ekonomi lembap memberikan kesan kepada program Keselamatan Sosial dan Medicare.”

Dana insuran kelainan upaya Keselamatan Sosial dijangka boleh memberikan pembiayaan penuh sehingga 2028.

Walaupun dana itu masih belum dilanda krisis, pegawai berkata yang sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah di masa depan.

Sebaik sahaja dana itu tidak lagi mampu memberikan faedah penuh, jumlah penerima akan dikurangkan. Penerima faedah Medicare terpaksa dikurangkan sehingga 88 peratus pada 2029 sekiranya tiada usaha tambah baik program itu.

“Cara pertama untuk meningkatkan aset dana amanah ini ialah melalui perkembangan ekonomi,” kata Setiausaha Perbendaharan Steven Mnuchin kepada wartawan.

Pentadbiran Trump sebelum ini mencadangkan pemotongan cukai untuk melonjakkan pertumbuhan, menjangkakan pertumbuhan ekonomi dapat menampung kehilangan pendapatan, langkah yang dilihat ahli ekonomi sebagai tidak realistik. – AFP, 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen