Operasi selamat mangsa gua di Thailand bakal difilemkan


Papan iklan dengan gambar 12 budak lelaki dan jurulatih mereka di Chiang Rai bersama mesej 'Selamat Pulang' bagi meraikan kejayaan operasi menyelamat di gua Tham Luang, Thailand pada 10 Julai. – Gambar AFP, 11 Julai, 2018.

OPERASI menyelamat 12 budak lelaki dan seorang jurulatih yang terperangkap di sebuah gua di Thailand akan difilemkan.

Pure Flix Entertainment sedang berusaha mendapatkan hak memfilemkan misi itu, menurut portal berita industri filem Variety.

“Saya teruja; kisah ini amat bermakna kepada saya kerana saya mengikutinya,” kata rakan kongsi Pure Flix, Michael Scott pada Selasa ketika ditemui di tempat kejadian.

“Peluang menyaksikan semua keberanian di dalam gua dan kemudian mengeluarkan semua penyelam menjadi satu peristiwa yang sangat mengharukan.”

Usaha selama tiga minggu itu melibatkan penyelamat antarabangsa dari beberapa negara. Mereka diselamatkan pada Selasa selepas terperangkap pada 23 Jun apabila air banjir menghalang mereka keluar dari gua itu.

Scott, yang tinggal di Thailand sejak setengah tahun lalu, turut membantu dalam usaha menyelamat di Chiang Rai sejak empat hari lalu.

“Kami melihat ini sebagai filem yang dapat memberi inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia,” kata Scott.

“Kami di sini menyaksikan peristiwa itu dan mengumpul maklumat sahih bagi menceritakan kisah bagaimana seluruh dunia bersama-sama menyelamatkan 13 orang yang terperangkap dalam gua di sempadan China.”

David A.R. White, pengasas bersama syarikat produksi, memberitahu Wall Street Journal yang Pure Flix sudah mula berbincang dengan pelakon, penulis, dan pelabur mengenai kerjasama filem.

Beliau juga berkata beberapa rakan kongsi berpotensi menghubungi Pure Flix, termasuk pelabur Thai yang mengkhusus dalam kisah berasaskan kepercayaan. “Pada masa yang sama, cerita-cerita ini masih perlu menghiburkan dan mengesankan,” katanya.

“Sangat penting untuk kita sensitif terhadap situasi yang ada, kerana ini adalah kisah peribadi, bukan matlamat kita mengeksploitasi, tetapi ia sebagai penghormatan kepada semua yang terlibat,” tambah White.

Pure Flix adalah sebuah produksi filem yang cenderung kepada filem berasaskan kepercayaan seperti “God’s Not Dead”, “Same Kind of Different as Me,” “Woodlawn,” “The Case for Christ,” dan “Do You Believe?” – Agensi, 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen