Kami sedia beri Putrajaya masa untuk mengiktiraf UEC, kata ahli akademik Cina


Briana Leong

Naib Pengerusi Majlis Perundingan Pendidikan Cina, Zhou Shou Han berkata isu pendidikan Cina tidak harus dijadikan sebagai umpan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2018.

AHLI akademik Cina di Malaysia mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai janji pilihan raya mereka untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun memahami keperluan untuk menangani isu itu dengan teliti supaya ia tidak dipolitikkan.

Naib Pengerusi Majlis Perundingan Pendidikan Cina, Zhou Shou Han berkata beliau sendiri telah menemui seorang pemimpin PH yang kini seorang menteri kanan pada Disember lalu bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

“Sebaik saja PH mengiktiraf UEC, pelajar sekolah menengah swasta Cina boleh masuk universiti awam tempatan. Kriteria yang diperlukan ialah pemohon hanya perlu memdapat keputusan Bahasa Malaysia yang baik dalam SPM.

“UEC akan diiktiraf di samping mengekalkan syarat kemasukan ke universiti awam,” kata Zhou.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 14 parti komponen termasuk MCA, sebelum ini enggan mengiktiraf UEC sejak penubuhannya 43 tahun dahulu, tetapi PH yang hanya terdiri daripada empat parti komponen secara terbuka menyokong usaha mengiktiraf UEC dalam manifesto pilihan rayanya.

“Kami percaya PH benar-benar jujur. Dengan gabungan empat parti, saya percaya ia akan berkesan, dan inilah yang mereka janjikan,” kata Zhou.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat Cina bersedia memberi kerajaan PH sedikit masa untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu, dan menegaskan bahawa isu pendidikan Cina tidak harus dijadikan sebagai umpan politik.

“Ini soal pendidikan, kami tak mahu ia dijadikan isu politik, apatah lagi isu perkauman.

“Sudah tentu kami akan terpaksa berdepan dengan pihak yang menyokong pendidikan satu aliran, ramai yang menentang kami semasa pentadbiran dulu, dan ini akan menyukarkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching,” katanya.

“Dah 43 tahun kami tunggu, saya fikir kami boleh beri mereka sedikit masa supaya ia dapat dilakukan dengan betul.”

Bekas penasihat sosiobudaya kepada kerajaan, Rais Yatim berkata keputusan untuk mengiktiraf UEC mesti disokong dengan kajian mendalam, memberi amaran bahawa tindakan itu mungkin memberi kesan kepada orang Melayu dan kepentingan bahasa kebangsaan.

Rais memberitahu pemberita, bahawa mengiktiraf UEC tidak hanya perlu diputuskan oleh Kabinet tetapi perlu mengambil kira pendapat ahli akademik serta pakar pembangunan budaya. – 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen