Harapan, antara logo dan matlamat


TIDAK sampai 24 jam logo Pakatan Harapan (PH) diumumkan, bermacam-macam usik nakal dan dangkal yang keluar. Ada yang manis ada yang sinis. Yang mereka lihat logo navigasi itu lebih daripada apa yang mahu dilakukan seperti dalam kenyataan Majlis Presiden PH malam tadi.

Walhal yang mencorak pentadbiran itu nanti bukanlah bendera parti. Jika penilaiannya terletak pada logo maka dacing yang pada zahirnya di bendera dan di poster kempen tergambar cukup seimbang namun realitinya ia berat sebelah.

Begitu juga dengan bulan, tafsirnya mungkin menerangi kegelapan tapi cahaya itu bukanlah bersifat untuk seluruh alam tetapi hanya untuk yang berjemaah dengan mereka semata-mata. Maka persoalannya apakah politik ejek budak kecil akan terus didukung kita semua.

Yang harus dikritik adalah dasar dan pengisian perjuangan untuk rakyat. Antara matlamat yang dipersetujui bersama pimpinan PH adalah:

1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai Najib Razak;

2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;

3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;

4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;

5) Reformasi undang-undang dan institusi yang disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa perdana menteri; dan

6) Mengehadkan penggal perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal saja.

PH datang dengan matlamat utama yang mereka gariskan bersama. Tidak ketinggalan perkara yang akan dilakukan 100 hari selepas melangkah kaki ke Putrajaya yang antaranya ialah:

• Menghapuskan GST;

• Menstabilkan harga petrol;

• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;

• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;

• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;

• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal 1MDB; dan

• Memulihkan Felda.

Ini menggambarkan mereka kini benar-benar bersedia bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh.

Tak usah ditanya pada BN kerana mereka berkuasa hari ini. Yang perlu kita persoal adalah pada kelompok pembangkang. Antara PH dan Gagasan Sejahtera. PH sudah mulakan, kita tunggu Gagasan Sejahtera pula. – 14 Julai, 2017.

* Muhammad Syafiq Azmi ialah ketua Pemuda Amanah Melaka.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen