13 maut, 47 cedera dalam serangan bunuh diri di Pakistan


Haroon Bilour, yang merupakan setiausaha maklumat Parti Nasional Awami adalah antara yang terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di Peshawar, Pakistan. – Gambar AFP, 11 Julai, 2018.

SERAMAI 13 orang maut manakala 47 lagi cedera dalam insiden serangan bunuh diri di satu perhimpunan politik di Peshawar, yang terletak di barat laut pada malam Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Hospital Lady Reading, Zulfiqar Ali Baba Khel, mengesahkan 13 orang maut dan 47 lagi mengalami kecederaan dalam letupan itu.

Ketua Polis Peshawar, Qazi Jamil, berkata Haroon Bilour, yang merupakan setiausaha maklumat Parti Nasional Awami (ANP), adalah antara yang terbunuh dalam serangan itu.

Seorang pengebom meletupkan dirinya ketika Haroon Bilour bertemu petugas parti pada satu mesyuarat umum di Yakatoot, Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Pengebom itu berjaya menghampiri ahli politik yang terbunuh itu ketika petugas parti menyambut ketibaan mangsa dengan persembahan bunga api.

Polis, pasukan keselamatan dan anggota penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan membawa kesemua mangsa ke Hospital Lady Reading.

Skuad Pemusnah Bom berkata kira-kira lapan hingga 10 kilogram bahan letupan serta sekilogram galas bebola digunakan dalam serangan itu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Bashir Bilour, bapa Haroon Bilour dan pemimpin kanan politik ANP, turut terbunuh dalam satu letupan bunuh diri ketika kempen pilihan raya di Peshawar pada 2012.

Haroon Bilour bertanding untuk kerusi dewan wilayah dalam pilihan raya umum Pakistan pada 25 Julai.

ANP adalah sebuah parti nasionalis Pashtun dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan mempunyai wakil dalam dewan wilayah, dewan negara dan dewan undangan negeri di Parlimen.

Pemimpin semua parti politik utama mengutuk serangan itu dan menggesa pihak berkuasa memastikan keselamatan ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya umum. – Bernama, 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen