DUA mayat ditemui diperuk dalam beg pakaian, dibuang di kawasan hutan di pergunungan berhampiran ibu kota Tokyo, disyaki adik-beradik warga China yang dilaporkan hilang sebelum ini, lapor media tempatan.
Polis dilaporkan menemui mayat itu terlipat di dalam dua beg di dua lokasi berasingan di dalam hutan itu pada Khamis.
Polis mengesyaki mayat itu ialah dua wanita pekerja restoran warganegara China berumur 22 dan 25 tahun yang menetap di Yokohama dan hilang sejak minggu lalu.
Berdasarkan rakaman CCTV, seorang lelaki Jepun berusia 30-an, yang juga pelanggan di restoran berkenaan dilihat membawa dua beg pakaian keluar daripada pangsapuri adik-beradik itu sebelum mereka hilang, lapor Jiji Press.
Polis daerah Kanagawa bagaimanapun enggan mengulas berhubung kejadian itu.
Kes pembunuhan mengerikan sering menjadi perhatian di Jepun, walaupun ia dikenali sebagai negara paling selamat di dunia dengan kadar pembunuhan tahunan kurang seorang berbanding 100,000 orang.
Tahun lalu, mayat seorang wanita China yang hilang sejak lebih dua tahun ditemui dalam beg pakaian terapung di terusan di Tokyo.
Media tempatan berkata mangsa Yang Mei, 34, datang ke Jepun pada 2013 sebagai pelatih, seorang daripada ribuan warga asing terutama dari China, Vietnam dan Indonesia yang menyertai program buruh kerajaan.
Pada 2015, syarikat penyimpanan barang menemui mayat seorang wanita dalam beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah lokar di stesen kereta api di Tokyo yang menjadi hab pengangkutan tersibuk di dunia.
Beg pakaian itu tersimpan di situ selama sebulan selepas tidak ada yang datang mengambilnya. – AFP, 14 Julai, 2017.
Komen