ANAK bekas presiden Afrika Selatan Jacob Zuma, Duduzane Zuma didakwa di sebuah mahkamah di Johannesburg kerana melakukan jenayah rasuah.
Beliau didakwa terbabit dengan percubaan merasuah bekas timbalan menteri kewangan untuk berperanan dalam kerajaan.
Dakwaan itu berkaitan dengan kegiatan kontroversi keluarga Gupta yang dituduh mempengaruhi presiden Zuma. Bagaimanapun semua pihak yang dituduh mengaku tidak bersalah.
Pada 2015, bekas timbalan menteri kewangan, Mcebisi Jonas mendakwa ditawarkan kedudukan sebagai menteri kewangan dan rasuah bernilai 600m rand semasa pertemuan dengan Duduzane, ahli perniagaan Fana Hlongwane dan Ajay Gupta.
Jonas akan menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memajukan kepentingan empayar perniagaan Guptas.
Berikutan itu, pada Februari Jacob Zuma dipaksa meletak jawatan setelah menerima tekanan daripada parti pemerintah ANC, kerana terpalit dengan skandal rasuah, termasuk hubungannya dengan Guptas.
Kes berkenaan ditangguhkan hingga 24 Januari 2019 dan tertuduh dibenar diikat sebanyak 100,000 rand serta diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya.
Duduzane, 34, menetap di Dubai dan kembali ke Afrika Selatan untuk menghadiri majlis pengebumian abangnya Vusi Zuma.
Beliau dijangka hadir semula ke mahkamah pada Khamis untuk menghadapi tuduhan menyebabkan kematian dalam satu nahas jalan raya pada 2014, yang meragut dua nyawa. – Bernama, 11 Julai, 2018.
Komen