Calon pilihan raya antara 13 mangsa bom maut di Peshawar


Gambar fail calon pilihan raya Pakistan, Haroon Bilour yang maut dalam sasaran serangan pengebom nekad di Peshawar semalam. – Gambar AFP, 11 Julai, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 13 maut, termasuk seorang ahli politik apabila pengebom nekad meletupkan bom pada satu kempen pilihan raya di barat daya Pakistan, semalam.

Polis berkata pengebom nekad itu menyasarkan kempen pilihan raya anjuran Parti Kebangsaan Awami (ANP) di Peshawar, yang sebelum ini pernah menjadi sasaran pengganas berikutan kenyataan tegasnya terhadap kumpulan militan seperti Taliban.

Insiden letupan itu berlaku beberapa jam selepas jurucakap tentera Pakistan mengumumkan wujudnya ancaman keselamatan menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung 25 Julai ini.

“Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 mangsa, termasuk Haroon Bilour,” kata ketua polis bandar Peshawar, Qazi Jameel.

Seramai 54 lagi mangsa cedera.

Haroon Bilour salah seorang calon pilihan raya mewakili ANP dan berasal dari keluarga berpengaruh dalam politik di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.

Bapanya, Bashir Bilour, iaitu antara pemimpin utama ANP, maut dalam serangan pengebom nekad pada 2012.

“Hasil siasatan awal menunjukkan insiden itu angkara pengebom nekad dan Haroon Bilour sasaran serangan,” kata pegawai polis, Shafqat Malik. – AFP, 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen