SEBUAH pesawat yang membawa 11 penumpang dan anak kapal terhempas di kawasan pergunungan di Alaska semalam, kata pegawai dan penyelamat, dan semuanya selamat.
“Dilaporkan 11 orang yang terbabit dalam nahas pesawat selamat, tetapi mengalami kecederaan,” kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat dalam kenyataan susulan kejadian berhampiran Ketchikan.
Pesawat De Havilland DHC-3T Turbo Otter itu membawa 10 penumpang dan juruterbang, menurut stesen televisyen KTVA.
Ia melaporkan, 10 orang cedera apabila pesawat itu merempuh sisi Gunung Jumbo pada ketinggian 600 meter, dan semua penumpang dalam keadaan stabil.
Pihak berkuasa berkata, juruterbang menghubungi mereka sejurus sebelum jam 9 pagi waktu tempatan dan pengawal pantai menghantar dua kru helikopter ke lokasi yang terletak 65 kilometer ke barat daya Ketchikan.
Semua 11 mangsa dibawa ke bandar raya itu untuk menerima rawatan. – AFP, 11 Julai, 2018.
Komen