PAUL Pogba mendedikasikan kemenangan Perancis dalam separuh akhir Piala Dunia menentang Belgium awal pagi tadi, kepada 12 kanak-kanak lelaki yang selamat selepas terperangkap 18 hari di dalam gua di Thailand.
Lima ahli terakhir pasukan bola sepak remaja itu berjaya diselamatkan daripada gua dipenuhi air banjir itu semalam, dalam satu misi menyelamat yang amat sukar dan mendapat perhatian serta bantuan dari seluruh dunia.
Penyelam elit antarabangsa dan anggota tentera laut SEAL Thailand membawa keluar empat kanak-kanak dan jurulatih mereka berusia 25 tahun, melalui laluan yang sempit dan bersimpang siur, memerlukan mereka menyelit dalam terowong yang dipenuhi air, dan gelap.
Susulan kemenangan 1-0 di Saint Petersburg, Pogba yang juga pemain tengah Manchester United menulis di Twitter: “Kemenangan ini untuk wira-wira hari ini, anda hebat, anda kuat.”
Presiden FIFA Gianni Infantino juga menjemput kanak-kanak terperangkap yang juga ahli pasukan bola sepak dengan nama Wild Boars itu ke perlawanan akhir Piala Dunia.
Tetapi FIFA berkata mereka dimaklumkan semua kanak-kanak itu tidak dapat diterbangkan ke Moscow kerana keadaan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan.
Pemain bola sepak remaja Thailand itu berumur antara 11 dan 16 tahun terperangkap jauh di dalam gua ketika memasukinya bersama jurulatih mereka selepas tamat latihan bola pada 23 Jun.
FIFA juga mengucapkan takziah kepada keluarga bekas penyelam tentera laut Thailand yang meninggal dunia kerana kehabisan oksigen ketika terbabit dalam operasi menyelamat itu pada Jumaat lalu. – AFP, 11 Julai, 2018.
Komen