SEBAHAGIAN daripada 102 anak pendatang haram yang berada di dalam pusat jagaan sementara di Washington akan disatukan semula dengan ibu bapa mereka menjelang tarikh akhir yang ditetapkan mahkamah, manakala nasib baki daripada jumlah itu masih belum diketahui.
Mahkamah memerintahkan semua kanak-kanak berusia di bawah lima tahun disatukan semula dengan keluarga mereka menjelang 10 Julai.
Pihak berkuasa berkata empat daripada mereka sudah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing, semalam, dan baki 34 kanak-kanak lagi akan disatukan semula hari ini.
Bagaimanapun katanya, penyatuan sebahagian lagi kanak-kanak itu terpaksa ditangguhkan kerana ibu bapa mereka masih dalam tahanan sah, manakala ibu bapa lain didapati memiliki rekod jenayah serius, malah ada di antaranya yang sudah dihantar pulang.
“Proses penyatuan semula akan berlangsung sepanjang hari ini. Keutamaan kami untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini.
“Kami hanya ingin memastikan semua kanak-kanak ini tidak diserahkan kepada individu yang boleh memberi ancaman kepada mereka,” kata pegawai kanan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Chris Meekins.
Pada Isnin lalu, Hakim Mahkamah San Diego, Dana Sabraw memberi tempoh tambahan kepada kerajaan untuk menyatukan 102 kanak-kanak dengan keluarga mereka.
Ia berikutan dasar “tanpa toleransi” yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump menyebabkan lebih 2,300 kanak-kanak terpaksa berpisah dengan keluarga masing-masing, selepas ibu bapa mereka didakwa kerana menyeberangi sempadan secara haram.
Mahkamah juga mengarahkan kanak-kanak berusia lima tahun ke atas diserahkan kepada keluarga mereka menjelang 26 Julai ini. – AFP, 11 Julai, 2018.
Komen