Ahli Parlimen Hong Kong anti-Beijing hilang kelayakan


Ramai aktivis yang bimbangkan China menyekat kebebasan Hong Kong mahukan autonomi penuh dalam pentadbiran, tindakan yang mencetuskan kemarahan Beijing.– Gambar AFP, 14 Julai, 2017.

EMPAT wakil rakyat pro-demokrasi dilucutkan kelayakan dalam Parlimen Hong Kong hari ini, satu tindakan yang dilihat meningkatkan kebimbangan yang kebebasan bandar itu sedang diancam Beijing.

Bekas pemimpin protes “Umbrella Movement” Nathan Law adalah antara empat mereka yang dilucutkan kelayakan dalam penghakiman Mahkamah Tinggi.

Kes yang difailkan kerajaan tempatan pro-Beijing itu meminta keempat-empat wakil rakyat itu disingkirkan daripada Parlimen kerana mengubah ayat dalam lafaz setia mereka ketika mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen, tindakan yang dilakukan untuk menyatakan kekecewaan terhadap pihak berkuasa China tahun lepas.

Penghakiman itu dikeluarkan selepas Beijing mengeluarkan tafsiran khas kepada perlembagaan mini Hong Kong yang dikenali sebagai “Undang-undang Asas”, menegaskan yang sumpah setia itu perlu dilafazkan dengan adab yang “ikhlas dan takzim.”

Mahkamah Tinggi berkata yang tafisran itu “terpakai” di semua mahkamah Hong Kong.

“Perkataan ‘takzim’ membawa maksud pemahaman sedia ada sebagai bermaruah dan formal,” kata penghakiman itu.

Aktivis yang bimbang China sedang menekan Hong Kong yang mempunyai kuasa semi-autonomi mendesak kepada autonomi penuh atau kemerdekaan bandar itu, tindakan yang mencetuskan kemarahan China.

Empat wakil rakyat yang dilucut kelayakan itu bukanlah pejuang pro kemerdekaan tetapi dua daripada mereka mahukan autonomi penuh.

Tafsiran yang dikeluarkan Beijing itu mencetuskan protes besar-besaran sewaktu upacara angkat sumpah wakil rakyat yang dilakukan selepas pilihan raya bandar itu.

Dua lagi wakil rakyat pro-kemerdekaan sudah dilucutkan kelayakan oleh Mahkamah Tinggi selepas mereka menambah ayat dalam ikrar mereka dan menutupi pakaian mereka dengan bendera “Hong Kong bukan China” semasa upacara angkat sumpah itu. – AFP, 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen