POLIS berkata penyiasat menyoal siasat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkenaan tuduhan beberapa kes rasuah yang mengugat kedudukannya.
“Perdana menteri telah disoal siasat selama beberapa jam di rumahnya hari ini dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh unit penipuan dan jenayah berat serta pihak keselamatan,” kata polis dalam satu kenyataan.
Polis tidak menyatakan apakah soalan yang ditanya kepada Netanyahu tetapi media Israel melaporkan ia melibatkan dakwaan korupsi berkaitan gergasi telekomunikasi, Bezeq dan pemegang saham terbesarnya, Shaul Elovitch.
Ini adalah kali ke-11 Netanyahu disoal siasat berkaitan pelbagai kes, sama ada sebagai suspek atau saksi.
Bulan lepas, beliau disoal siasat sebagai saksi dalam siasatan korupsi pembelian tiga kapal selam dari Jerman.
Beliau tidak dianggap suspek, walaupun beberapa rakan terapatnya disoal siasat beberapa kali.
Dalam kes berlainan bulan lepas, isterinya, Sara didakwa dengan salah guna dana negara untuk membeli makanan katering berjumlah AS$100,000 dengan membuat pengisytiharan palsu tidak ada tukang masak di kediaman rasminya.
Perbicaraan dijadualkan di Mahkamah Majistret Baitulmaqdis pada 7 Oktober depan.
Pada Februari, polis mencadangkan perdana menteri itu didakwa berkaitan dua kes, walaupun peguam negara masih belum memutuskan untuk berbuat demikian.
Dalam kes Bezeq, Netanyahu didakwa mendapatkan liputan istimewa dengan sebuah lagi syarikat milik Elovitch, portal berita Walla dengan pertukaran dasar kerajaan yang boleh memberi manfaat berjuta dolar kepada taikun niaga besar itu.
Netanyahu yang sudah jadi perdana menteri selama 12 tahun sentiasa mengatakan beliau tidak bersalah, tetapi siasatan berlanjutan membangkitkan persoalan sama ada beliau akhirnya akan disingkir daripada jawatan.
Setakat ini, rakan partinya memberikan sokongan, dan menurut undang-undang Israel perdana menteri tidak perlu berundur walaupun berdepan dakwaan jenayah rasmi. – AFP, 10 Julai, 2018.
Komen