Majlis Keselamatan PBB lulus ketetapan lindungi kanak-kanak dalam konflik senjata


Ketetapan 2427 diluluskan sebulat suara 15 anggota Majlis Keselamatan PBB, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan merekrut dan memperalatkan kanak-kanak oleh pihak terbabit dalam konflik bersenjata. – Gambar EPA, 10 Julai, 2018.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin meluluskan ketetapan melindungi kanak-kanak dalam konflik bersenjata menerusi pelbagai langkah yang diperkenalkan.

Ketetapan 2427, yang diluluskan sebulat suara 15 anggota Majlis, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan merekrut dan memperalatkan kanak-kanak oleh pihak yang terbabit dalam konflik bersenjata.

Ia juga mengecam tindakan merekrut semula, membunuh atau menyebabkan kecacatan, merogol atau sebarang bentuk keganasan seksual serta penculikan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, ketetapan itu turut mengutuk serangan ke atas sekolah dan hospital serta tindakan pihak bersenjata yang bertelingkah menyekat bantuan kemanusiaan serta tindakan keganasan lain yang mencabuli undang-undang antarabangsa ke atas kanak-kanak ketika sesuatu konflik bersenjata meletus.

Sambil mengulangi kesediaan Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan keras khusus dan berperingkat ke atas mereka yang senantiasa mencabuli undang-undang serta golongan melakukan kekejaman ke atas kanak-kanak, ketetapan itu turut mendesak negara anggota dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memasukkan aktiviti mencegah konflik, menamatkan sengketa, situasi selepas perang dalam usaha mengekalkan keamanan.

Ketetapan itu turut menggariskan kepentingan menyalurkan pembiayaan bantuan kemanusiaan berterusan terhadap program kesihatan mental dan psikososial terhadap kanak-kanak.Ia juga menggalakkan penyumbang supaya memasukkan aspek perkhidmatan kesihatan mental dan psikososial dalam semua gerakan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan.

Turut disuarakan kebimbangan terhadap tindakan pihak tertentu menyoal siasat serta mengumpul maklumat daripada kanak-kanak yang ditahan.

Kanak-kanak yang direkrut sebagai tentera dan gerila kemudian dituduh melakukan jenayah ketika konflik bersenjata, perlu dianggap sebagai mangsa pencabulan undang-undang  antarabangsa.

Ketetapan tersebut diluluskan selepas perbahasan panjang lebar dan menyeluruh yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven. Julai ini giliran Sweden menjadi presiden Majlis Keselamatan.

Menurut laporan tahunan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang dikeluarkan Setiausaha Agung PBB, lebih 21,000 kes kekejaman pencabulan serius hak asasi kanak-kanak disahkan tahun lalu, meningkat dengan ketara daripada 15,500 kes pada 2016. – Bernama, 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen