SEMUA 12 budak lelaki dan jurulatih yang terperangkap dalam gua dibanjiri air di Thailand berjaya dikeluarkan, kata tentera laut Thailand menerusi pengumuman di akaun Facebook mereka sebentar tadi.
Sebelum ini dilaporkan tiga mangsa diselamatkan daripada terperangkap dalam gua dibanjiri air dan dua lagi masih terperangkap ketika operasi menyelamat disambung hari ini. Mereka terperangkap selama 18 hari dalam gua terletak di wilayah Chiang Rai, utara Thailand itu.
Operasi menyelamat yang memukau perhatian dunia itu bersambung hari ini selepas pasukan penyelam elit asing dan pasukan tentera laut elit Thailand berjaya membawa keluar lapan orang pemain bola sepak “Wild Boars” dari gua Tham Luang di utara Thailand pada Ahad dan Isnin lalu.
“Mereka akan dikeluarkan hari ini,” kata Ketua Penyelamat Narongsak Osottanakorn kepada wartawan pagi tadi.
12 budak lelaki berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka masuk ke dalam gua itu pada 23 Jun selepas latihan bola sepak tetapi terperangkap apabila laluan gua dibanjiri air secara tiba-tiba.
Mereka menghabiskan masa sembilan hari terperangkap dalam gua itu sebelum ditemui dua penyelam elit Britain. Sejak itu, usaha menyelamat mula dirangka bagi membawa mereka keluar dengan selamat. – AFP, 10 Julai, 2018.
Komen