AKTOR Hollywood, George Clooney, telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Sardinia pada awal Selasa, namun tidak mengalami sebarang kecederaan parah, lapor agensi berita Itali Ansa.
Aktor itu telah menjalani pemeriksaan imbasan CAT di Hospital Olbia namun ia tidak menunjukkan sebarang kecederaan yang teruk, hanya trauma kecil di bahagian lutut, lapor Ansa memetik kenyataan sumber.
Clooney telahpun meninggalkan hospital terbabit, menurut sumber itu.
Aktor itu, yang terkenal menerusi filem “From Dusk Till Dawn,” Batman and Robin, Perfect Storm, trilogi Ocean’s serta siri mini ER, berada di pulau tersebut selama sebulan untuk menjalani penggambaran siri Sky baharu, Catch 22, kata sumber.
Dalam insiden itu, aktor tersebut telah dilanggar oleh sebuah kereta di luar hotelnya.
Pemandu kereta terbabit kemudian menghentikan keretanya untuk memberi bantuan sebelum perkhidmatan kecemasan tiba untuk membawa Clooney ke hospital. – Bernama, 10 Julai, 2018.
Komen