Jumlah korban bot karam di Phuket meningkat 46 orang


Bot Phoenix yang membawa 105 penumpang karam semasa ribut kuat membadai pulau pelancongan popular, Phuket pada Khamis lalu. – Gambar EPA, 10 Julai, 2018.

DUA lagi mayat mangsa nahas bot karam di Phuket ditemui di pantai Pulau Phi Phi, menjadikan angka korban meningkat kepada 46 orang manakala seorang lagi masih hilang, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Setakat ini, polis menyoal siasat 50 saksi dan mendakwa kapten dua buah bot dan seorang lelaki Cina, yang merupakan pengurus syarikat pelancongan terbabit.

Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram turut bersedia membekukan akaun bank kedua-dua pengendali pelancongan merangkap pemilik kedua-dua bot, iaitu Phoenix dan Serenata, yang karam di perairan Phuket pada Khamis lepas.

Polis juga menggeledah premis kedua-dua syarikat pelancongan di 11 lokasi di Phuket yang mempunyai kaitan dengan operasi kedua-dua bot dalam satu operasi bagi membanteras tindakan memperguna rakyat Thailand untuk menjalankan perniagaan pelancongan bagi pihak pelabur China.

Bot itu membawa sejumlah 105 penumpang apabila ia karam semasa ribut kuat membadai pulau pelancongan popular tersebut.

Mereka yang berada di atas bot itu terdiri daripada 93 pelancong, kebanyakannya dari China, seorang pemandu pelancong dan 11 anggota kru. – Bernama, 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen