SEKUMPULAN lelaki bersenjata menyerang tetamu yang menghadiri satu majlis keraian keluarga di Tlaquepaque, sebuah bandar di barat negeri Jalisco, Mexico pada Ahad, menyebabkan tujuh orang terbunuh, kata polis.
Mangsa yang maut terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun, kata jabatan polis Tlaquepaque.
Bagaimanapun, setakat ini polis masih gagal mengesan keberadaan kumpulan penembak itu.
Para penyiasat Pejabat Peguam Negara Jalisco telah mengumpul bukti di tempat kejadian.
Sementara itu, di utara bandar perindustrian Monterrey, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang beberapa buah bar pada malam Sabtu dan awal pagi Ahad serta membunuh sekurang-kurangnya 15 orang. – Bernama, 10 Julai, 2018.
Komen