PERDEBATAN dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini didominasi oleh konflik perundangan antara Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Perlombongan Minyak negeri mengenai pemilikan gas dan minyak di negeri itu apabila ordinan berusia 60 tahun itu dibahaskan untuk pindaan.
Perdebatan menjadi tegang apabila Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen memetik Seksyen 2 (1) PDA mengenai pemunyaan sumber minyak.
Seksyen itu menyatakan yang “seluruh pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia hendaklah diletakhakkan pada suatu Perbadanan yang akan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pemerbadanan syarikat”.
Chong, seorang peguam memberitahu wakil rakyat lain yang kata kunci dalam akta tersebut adalah “keistimewaan eksklusif”.
Ketua Pakatan Harapan negeri itu walaupun memberikan sokongan kepada pindaan ordinan, berkata pindaan itu hanyalah tidak lebih sekadar “perundangan syok sendiri”.
“Di akhirnya, jika undang-undang persekutuan tidak konsisten dengan undang-undang negeri, yang akan diguna pakai adalah undang-undang persekutuan.”
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan wakil rakyat PH dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak bersetuju dengan pandangan perundangannya. – 10 Julai, 2018.
Komen