Saya sentiasa mahu Dr Siti Hasmah bersama, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah berkahwin sejak 1956, pasangan negarawan itu dikenali dan dihormarti rakyat Malaysia kerana pengorbanan mereka untuk negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2018.

BAGI Dr Mahathir Mohamad, tidak ada siapa yang beliau mahukan berada di sisi berbanding isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam satu wawancara dengan Astro Gempak bersama “bintang Ceria Popstar” Kashika yang berusia 10 tahun untuk menyambut ulang tahun kelahiran ke-93 hari ini, perdana menteri dan isteri berkongsi beberapa kisah menyentuh hati mengenai kehidupan mereka bersama.

“Ke mana juga saya pergi, Tun Siti ikut.

“Saya perlu Tun Siti bersama saya,” katanya walaupun mengakui yang “bila saya berucap, dia lena, dia tidur”.

Mengenai perkara yang disukai tentang isterinya, Dr Mahathir berkata “walaupun saya sentiasa jauh, bekerja, tak habiskan masa untuk anak-anak, dia tak pernah complaint”.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah mendedahkan apa yang beliau percaya kelemahan terbesar suaminya.

“Dia kerja terlalu kuat,” katanya dan “selalu terlupa yang saya berada di rumah”.

“Tetapi itu tugasnya kepada negara, jadi saya perlu terima.”

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah berkahwin sejak 1956. Anak pertama mereka, Marina lahir pada 1957.

Mereka bersama-sama mengharungi arus cabaran mentadbir negara ketika Dr Mahathir pertama kali jadi perdana menteri sejak 1981 hingga 2003 dan sentiasa menyokongnya untuk kembali ke politik selepas bersama selama 15 tahun.

Dr Mahathir juga mendedahkan yang cita-citanya pada usia muda bukanlah doctor.

“Saya mahu jadi peguam,” katanya, “tetapi saya dapat biasiswa untuk belajar perubatan pula”.

Negarawan ulung itu yang merupakan perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat selama 22 tahun juga memberikan kata-kata semangat untuk Kashika.

“(Untuk jadi perdana menteri) awak kena kerja keras, awak perlu dapat sokongan rakyat dan awak tak boleh langgar janji.”

Kashika juga membuat kejutan kepada Dr Mahathir dengan menghadiahkan kolaj ucapan hari lahir yang dihantar rakyat seluruh negara.

Dr Siti Hasmah juga menemani Kashika bermain piano menyanyikan lagu Rasa Sayang untuk suaminya.

Kemudian, dalam wawancara bersama radio Bernama pula, Dr Mahathir berkata tidak perlu menghantar hadiah dan cukuplah ucapan “Selamat Hari Lahir” untuknya.

“Beri mesej atau ucapkan selamat hari lahir. Itu sudah cukup saya hargai,” katanya dipetik Bernama.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 juga adalah ketua negara tertua dalam dunia yang masih mentadbir sekarang.

Negarawan itu juga berjenaka yang beliau mudah terlupa dan sukar mengingati hari lahirnya sendiri sekarang.

Tetapi, beliau sentiasa boleh mengharapkan isteri tercinta untuk mengingatkannya tentang hari istimewa itu.

“Saya cepat lupa, jadi saya tak pernah ingat hari lahir saya. Tetapi, isteri saya tak pernah lupa. Awal pagi tadi dia beritahu saya, ‘selamat hari lahir’. Jadi saya selamat dan saya sambutlah jugak.

“Jika harapkan saya, hari lahir sendiri pun saya tak akan ingat,” katanya.

Katanya, hidangan khas hari lahirnya adalah pulut dan rendang daging.

Dalam wawancara itu juga, Dr Mahathir berkata sebelum jadi pemimpin dikenali ramai, beliau selalu membawa isterinya keluar makan malam tetapi sekarang mereka tak lagi boleh berbuat demikian. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen