Duterte sedia lepas jawatan lebih awal


Presiden Filipina Rodrigo Duterte memaklumkan kepada setiausaha kabinetnya yang beliau sudah 'penat' dan jawatan itu lebih sesuai untuk 'mereka yang lebih muda'. – Gambar EPA, 10 Julai, 2018.

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte bersedia untuk melepaskan jawatannya lebih awal iaitu pada 2019, sebaik Perlembagaan persekutuan yang dicadangkannya diterima rakyat, memetik jurucakap presiden, Harry Roque pada Isnin, lapor Inquirer.net.

Roque berkata, presiden Filipina memaklumkan kepada setiausaha kabinetnya yang beliau sudah “penat” dan jawatan itu adalah lebih sesuai untuk “mereka yang lebih muda.”

Pada petang Isnin, Duterte menerima salinan draf Perlembagaan persekutuan daripada bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung, Reynato Puno, merangkap ketua jawatankuasa panel perundingan mengenai cadangan untuk mewujudkan sistem federalisme.

Bagaimanapun, presiden Filipina itu tidak memberikan sebarang kenyataan selepas menerima draf berkenaan dan sekadar bergambar bersama dengan anggota panel. – Bernama, 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen