Fadiah Nadwa dipanggil polis esok


Bekas peguam Fadiah Nadwa Fikri akan disiasat berhubung tulisannya mengenai kedudukan institusi Raja-raja Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2018.

BEKAS peguam Fadiah Nadwa Fikri dipanggil polis untuk siasatan berhubung tulisannya semalam menggesa sistem beraja dimansuhkan kerana didakwa sudah lapuk.

Menulis di Twitter, Fadiah berkata, beliau dimaklumkan oleh polis akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Soal siasat akan dibuat di IPD (ibu pejabat polis daerah) Brickfields esok pukul 4 petang,” tulis peguam itu, yang juga pengasas badan anak muda yang menamakan diri sebagai Malaysia Muda.

Siasatan ini berhubung tulisan Fadiah bertajuk “Jangan Engkau Cium Tangan Yang Memukulmu” yang disiarkan portal Malaysia Muda, semalam.

Dalam satu mesej awal di Twitter sebelum itu, Fadiah memaklumkan laporan polis sudah dibuat terhadapnya berhubung tulisannya itu. Beliau tidak menyatakan laporan polis itu dibuat oleh siapa.

Dalam tulisannya di portal Malaysia Muda semalam, Fadiah mengulas kunjungan Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim mengadap Sultan Johor tidak sampai seminggu selepas bebas dari penjara dengan pengampunan diraja pada 16 Mei lalu.

Tulisan yang tular di media sosial itu antara lain menyentuh foto Anwar mencium tangan Sultan Johor, yang tersebar selepas kunjungan tersebut.

Fadiah adalah antara lima peguam yang menang dalam tindakan saman terhadap Polis DiRaja Malaysia bersabit penahanan tidak sah ke atas mereka ketika memberikan khidmat guaman di luar balai IPD Brickfields pada 2009.

Beliau ketika itu adalah peguam yang berkhidmat bagi Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur.

Seksyen 4 Akta Hasutan boleh dihukum tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagi 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menyediakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.– – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen