Kepimpinan baharu PH tamatkan desas-desus perpecahan, kata Azmin


PENGUMUMAN barisan kepimpinan Pakatan Harapan awal hari ini menjawab segala persoalan mengenai hubungan parti dalam pakatan pembangkang, kata Azmin Ali.

Timbalan presiden PKR yang juga menteri besar Selangor percaya barisan kepimpinan itu memiliki apa yang diperlukan untuk menghadapi PRU-14 dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Saya cukup berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmen saya kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya.

“Pelantikan ini adalah amat signifikan kepada pengukuhan Pakatan Harapan serta memberi hala tuju, fokus dan kepimpinan dalam muafakat ini menjelang PRU-14,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi Majlis Presiden Harapan, manakala Anwar sebagai ketua de facto dan Wan Azizah menjadi presiden pakatan dalam barisan kepimpinan bersama.

Manakala Azmin memegang jawatan sebagai salah seorang daripada empat timbalan presiden.

Pakatan mengatasi masalah kepimpinan dengan menamakan barisan kepimpinan baharu selepas sebulan berdepan dengan kemelut antara parti pembangkang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas perlantikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah mendapat sokongan yang padu daripada semua anggota Pakatan Harapan,” tambah Azmin. – 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen