Hamas kecam Israel larang eksport, import di Gaza


Israel menutup sempadan Kerem Shalom di Gaza bagi urusan import dan eksport dan hanya membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan serta makanan ke kawasan pesisir. – Gambar AFP, 10 Julai, 2018.

PERGERAKAN Hamas pada Isnin membantah langkah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menutup satu-satunya pintu sempadan perdagangan antara Israel dengan Gaza selain mengharamkan eksport dan import barang, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum menyifatkan keputusan kerajaan Israel itu untuk menafikan perdagangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan dianggap satu jenayah kemanusiaan.

‘‘Sikap masyarakat antarabangsa dan serantau berdiam diri terhadap tindakan pengepungan ke atas Gaza sejak 2017, dilihat menggalakkan lagi Israel meneruskan kejahatannya dengan melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Hamas menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak mencegah kejahatan dan kesan buruk akibat tindakan itu,” kata Barhoum.

Terdahulu pada Isnin, Netanyahu mengumumkan Israel memutuskan menutup sempadan Kerem Shalom untuk sebarang urusan import dan eksport dan hanya membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan serta makanan ke kawasan pesisir.

Kerajaan rejim zinois itu juga memutuskan untuk mengurangkan kawasan memancing yang dibenarkan di Semenanjung Gaza daripada 9km kepada 6km.

Langkah itu sebagai tindak balas terhadap tindakan melepaskan layang-layang dan belon berapi dari Gaza ke Israel, yang menyebabkan Israel mengalami kerugian jutaan Shekel akibat kebakaran besar.

Pelepasan layang-layang dan belon berapi tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan oleh peserta perhimpunan Perarakan Pulang Besar-Besaran (Great March of Return) yang bermula 30 Mac lepas.

Sekurang-kurangnya 137 orang Palestin terbunuh dan kira-kira 15,000 cedera.

Pada Isnin, Jawatankuasa Membantah Pengepungan Israel ke atas Gaza memberi amaran, langkah menutup laluan perdagangan tunggal itu, bakal menggandakan lagi krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Pengerusinya, Jamal al-Khoudari berkata langkah terbaru Israel itu bertujuan mengetatkan pengepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza sejak 12 tahun lalu. – Bernama, 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen