DUA kanak-kanak dan seorang wanita antara lapan orang awam yang terbunuh dalam serangan pemberontak Houthi ke atas bandar pelabuhan Laut Merah Yaman iaitu Hudaidah pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.
‘’Pemberontak Houthi menyasarkan kawasan kediaman di daerah Tuhyata yang dikuasai kerajaan,’’ menurut kenyataan Kementerian Pertahanan yang dihantar secara online.
Beberapa kawasan yang dikuasai kerajaan di Hudaidah diserang pemberontak Houthi sehingga memaksa ramai orang melarikan diri, kata penduduk kepada Xinhua ketika dihubungi melalui telefon.
Pasukan tentera Yaman yang dibantu oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditempatkan di Tuhyata beberapa hari selepas mereka berjaya mengusir pemberontak Houthi dalam satu operasi ketenteraan secara besar-besaran.
Terdahulu pada hari sama, kenderaan berperisai dan bantuan tambahan tentera Yaman yang disokong UAE telah digerakkan dari Aden untuk menyertai operasi ketenteraan yang berterusan terhadap pemberontak Houthi di Hudaidah.
Hudaidah merupakan pintu masuk paling utama bagi bekalan makanan dan keperluan asas ke kawasan-kawasan di utara Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi, termasuk ibu negara Sanaa.
Lebih 121,000 penduduk melarikan diri dari bandar Hudaidah yang terjejas akibat peperangan serta bahagian-bahagian lain dalam wilayah itu sejak 1 Jun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini. – Bernama, 10 Julai, 2018.
Komen