Operasi selamatkan kanak-kanak dalam gua Thailand diteruskan hari ini


Semalam, empat lagi berjaya dikeluarkan manakala empat mangsa pertama dikeluarkan pada Ahad. Ini menjadikan jumlah mangsa yang sudah dikeluarkan ialah lapan orang. – Gambar EPA, 10 Julai, 2018.

PASUKAN penyelamat hari ini bersiap sedia menyambung operasi mengeluarkan lagi empat anggota pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang, Thailand.

Menurut BBC, keadaan kesihatan mereka dilaporkan dalam keadaan baik dan bersedia untuk dibawa keluar melalui laluan yang sempit dan berliku.

Semalam, empat lagi berjaya dikeluarkan manakala empat mangsa pertama dikeluarkan pada Ahad. Ini menjadikan jumlah mangsa yang sudah dikeluarkan ialah lapan orang.

Setiap seorang mangsa dibawa keluar oleh dua pakar selam dan selepas itu dipindahkan segera ke hospital di Chiang Rai, kira-kira 60km dari tempat kejadian.

Operasi menyelamat yang jadi perhatian dunia ini melibatkan lebih 90 pakar selam. 

Kerja-kerja mengeluarkan mereka yang terperangkap di gua itu diusahakan oleh 13 penyelam dari luar negara dan lima penyelam tentera laut Thailand.

Jumaat lalu, seorang bekas tentera laut yang jadi sukarelawan penyelamat meninggal dunia selepas kehabisan oksigen ketika berpatah balik selepas menghantar bantuan kepada mangsa.

Kumpulan pelajar dan jurulatih bola sepak itu terperangkap selepas mereka turun ke gua berkenaan yang kemudiannya dinaiki air, sesudah habis latihan bolasepak pada 23 Jun lepas. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen