Tukang emas Lubnan saman Rosmah, tuntut barang kemas AS$15 juta


Global Royalty menghantar 44 barang kemas kepada isteri bekas perdana menteri, Najib Razak termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, dengan setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2018.

SEORANG tukang emas Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah Mansor bulan lalu atas kegagalannya memulangkan penghantaran 44 barangan kemas, yang sudah dirampas oleh polis, lapor Malaysiakini.

Dalam samannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay, Global Royalty Trading SAL mendakwa barang kemas itu dihantar kepada Rosmah yang juga pelanggan tetapnya, untuk dinilai dan pembelian.

Global Royalty menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, dengan setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Pihak ketiga yang tidak dinamakan biasanya akan membayar barang kemas itu jika Rosmah mahu membelinya.

Firma itu berkata barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan, lapor Malaysiakini.

Syarikat itu mendakwa kadangkala, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan beliau atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai. Satu memorandum penyerahan akan mengiringi hantaran atau konsainan barangan kemas, yang menerangkan terma dan syarat.

Syarikat itu mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui menerima barangan berkenaan.

Dalam tuntutan saman itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka pemilik sah 44 unit barangan kemas tersebut.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah perlu membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.

Pengurusan kes mengenai tuntutan itu akan diadakan hari ini.

Bulan lalu, polis mendedahkan wang tunai dan barangan yang dirampas dari enam kediaman berkaitan dengan Najib Razak berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Amar Singh berkata polis mengambil masa dari 21 Mei hingga 25 Jun untuk menentukan nilai barang rampasan itu.

Beliau berkata ia membabitkan lebih 12,000 barang kemas – termasuk 2,200 cincin, 1,400 rantai leher, 2,100 rantai tangan, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang dan 14 tiara.

Barangan paling mahal ialah rantai leher bernilai sekurang-kurangnya RM6 juta.

Serbuan di kediaman berkaitan bekas perdana menteri itu dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap penyelewengan dalam syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • diharapkan semuanya dapat diselesaikan secepat mungkin.. jangan pula yang cuba meamnipulasi isu ini.. kita tunggu je keputusan nanti

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Silap sdhkh sprm dan pdrm..brg kemas blm di beli lgi.tpi ph fikir dri 1 mdb..jdi mcm mna cerita selepas ini?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mohammad Simon Adam Sikat · Ulasan