Elon Musk berada di Thailand bersama kapal selam mini


USAHAWAN penerokaan angkasa Amerika Syarikat Elon Musk menerusi Twitter berkata beliau berada di Thailand pada Selasa bersama prototaip kapal selam mini, di gua yang dipenuhi air banjir di mana lima lagi ahli pasukan bola sepak remaja Thailand masih terperangkap.

“Baru saja kembali dari Gua 3,” kata Musk.

“Kapal selam mini siap sedia jika diperlukan. Ia diperbuat daripada bahan roket dan dinamakan Wild Boar sempena nama pasukan bola sepak kanak-kanak itu. Tinggalkan ia di sini, manalah tahu jika ia mungkin boleh digunakan pada masa akan datang.”

Di Instagram, beliau memuat naik video gua itu, bersama anggota penyelamat.

Gua 3 terletak kira-kira 2km dari pintu masuk rangkaian gua berkenaan dan menjadi pangkalan untuk pasukan penyelamat Thailand.

Ahli pasukan bola sepak itu masih menunggu anggota penyelamat yang terletak kira-kira 2km di depan, di lokasi yang paling sukar untuk dimasuki.

Setakat ini, tidak ada tanda-tanda pasukan penyelamat Thailand bercadang untuk menggunakan prototaip Musk.

Pada Isnin malam, penyelam elit berjaya membawa keluar lapan ahli pasukan itu yang terdiri daripada 12 kanak-kanak lelaki dan seorang jurulatih mereka berusia 25 tahun.

Usaha pasukan penyelamat Thailand itu dibantu pakar dari seluruh dunia, dan kematian seorang bekas penyelam tentera laut SEAL Thailand yang kehabisan oksigen ketika di dalam gua itu pada Jumaat lepas menunjukkan betapa bahayanya misi itu.

Selepas mengkaji insiden itu dengan idea asal memasang tiub udara gergasi di dalam gua berkenaan dan menggunakan radar penembusan syarikatnya untuk menggali lubang bagi sampai ke tempat di mana kanak-kanak itu berada, Musk menawarkan ideanya membina kapal selam mini.

Beliau menggelarnya “kapal selam asas yang bersaiz kanak-kanak menggunakan tiub pemindahan cecair oksiden”.

Musk berkata ia cukup ringan untuk dibawa oleh dua penyelam dan cukup kecil untuk melalui ruang yang sempit.

Mangsa di dalamnya tidak perlu berenang atau tahu menggunakan botol oksigen.

Beliau memuat naik video penyelam mengiringi pod itu ketika melakukan ujian di kolam renang di Los Angeles.

Minggu lalu, Musk berkata beliau menghantar pasukannya ke Thailand dari syarikat penerokaan ruang angkasa miliknya, SpaceX, dan syarikat kejuruteraan Boring Co.

Pada masa sama, Musk menggunakan peluang daripada kapal selam mini itu untuk mempromosikan penerokaan ruang angkasa. Beliau juga pengasas bersama syarikat kereta elektrik Tesla.

Pasukan bola sepak Thailand itu masuk ke kompleks gua Tham Luang di Chiang Rai, utara Thailad selepas tamat latihan dan terperangkap apabila air naik akibat banjir, lebih dua minggu lalu. – AFP, 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen