Beijing berdepan kritikan susulan penerima Nobel mati dalam tahanan


Penyokong pemenang Hadiah Nobel Liu Xiaobo memberi penghormatan terakhir kepada pejuang demokrasi veteran yang meninggal dunia semalam akibat kanser. – Gambar EPA, 14 Julai, 2017.

BEIJING berdepan kritikan hebat susulan kematian pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo semalam akibat kanser.

Beliau menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di hospital di bawah pengawalan rapi pihak berkuasa.

China dipertanggungjawabkan bagi kematian Liu, kata Jawatankuasa Nobel, kurang dua bulan selepas pejuang berusia 61 tahun itu dipindahkan ke hospital dari penjara.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, pemerintah Barat dan aktivis China mendesak pihak berkuasa membebaskan Liu dan menunaikan hasrat terakhirnya untuk dirawat di luar negara.

Canselor Jerman Angela Merkel memuji Liu sebagai “pejuang berani untuk hak asasi manusia”, manakala Setiausaha Luar British Boris Johnson berkata ia “salah” China kerana tidak membenarkan dia ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson menyeru China membebaskan balu Liu, yang ditangkap sejak 2010 tetapi dibenarkan berada di hospital semasa suaminyameninggal dunia.

Liu menjadi pemenang Hadiah Nobel Keamanan pertama yang mati dalam tahanan sejak pejuang kedamaian Jerman Carl von Ossietzky pada 1938, yang ditahan pihak Nazi.

Jawatankuasa Nobel berkata dalam satu kenyataan: “Kami mendapati ia sangat mengganggu yang Liu Xiaobo tidak dipindahkan ke fasiliti di mana dia boleh mendapat rawatan perubatan mencukupi sebelum menjadi lebih parah.

“Kerajaan China menanggung tanggungjawab berat bagi kematian yang tidak sepatutnya.”

Bagaimanapun, walaupun Jerman memanggilnya “wira” demokrasi dan menyuarakan “penyesalan” China menolak tawarannya menerima Liu, Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Perancis Emmanuel Macron memuji Xi Jinping pada sidang akhbar di Paris semalam dan mengelakkan komen mengenai kematian Liu.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata “sangat sedih” tetapi menahan diri daripada mengkritik China kerana enggan membenarkan pemenang Nobel itu menerima rawatan di luar negara.

Biro perundangan di bandar timur laut Shenyang mengatakan di laman sesawangnya Liu meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ, tiga hari selepas dibawa menerima rawatan intensif di First Hospital of China Medical University. – AFP, 14 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen