Penerima Nobel China meninggal dunia


Pemenang anugerah Nobel dari China, Liu Xiaobo meninggal dunia ketika masih dalam tahanan selepas bertarung dengan kanser. – Gambar EPA, 13 Julai, 2017.

PEMENANG anugerah Nobel dari China, Liu Xiaobo meninggal dunia hari ini ketika masih dalam tahanan selepas bertarung dengan kanser, pihak berkuasa berkata, selepas pegawai mengabaikan permintaan antarabangsa untuk membiarkan Liu menghabiskan hari-hari terakhirnya bebas di luar negara.

Penyokong demokrasi terkemuka itu meninggal di usia 61 tahun, lebih dari sebulan selepas dia dipindahkan dari penjara ke sebuah hospital yang dikawal ketat untuk menerima rawatan untuk barah hati peringkat akhir.

Biro undang-undang di timur laut bandar Shenyang di laman webnya berkata, Liu meninggal dunia tiga hari selepas menjalani rawatan intensif di First Hospital of China Medical University.

Kematian Liu meletakkan China dalam keadaan diragui kerana dia menjadi penerima Hadiah Nobel Keamanan pertama yang mati dalam tahanan sejak pacifis Jerman Carl von Ossietzky, meninggal dunia di sebuah hospital ketika ditahan Nazi pada 1938.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, pemerintah Barat dan aktivis tempatan meminta pihak berkuasa membebaskan Liu dan memenuhi permintaan terakhirnya untuk dirawat di luar negara.

Jerman menawarkan diri untuk merawat Liu, menyeru kepada “isyarat keamanan” daripada China Amerika Syarikat (AS) juga menyatakan kesediaan untuk menerima Liu.

Bagaimanapun, para pegawai menegaskan Liu menerima rawatan daripada doktor-doktor China yang terkemuka sejak diberi rawatan dalam tahanan setelah didiagnosis pada akhir Mei.

Sebagai tindak balas kepada seruan untuk membenarkan Liu meninggalkan China, kementerian luar negara itu berulang kali berkata negara lain tidak perlu mencampuri dalam hal ehwal dalaman China.

Pada awal Julai, doktor Liu mengatakan dia tidak cukup sihat untuk dihantar ke luar negara untuk rawatan, bertentangan dengan pendapat pakar perubatan AS dan Jerman yang dijemput oleh hospital untuk memeriksa keadaan Liu. Pakar-pakar perubatan tersebut bersedia untuk merawat pemenang Nobel itu di hospital negara asal mereka.

Kumpulan hak asasi manusia mengecam cara pemerintah merawat Liu, menuduh pihak berkuasa memanipulasi maklumat kesihatannya dan enggan membiarkannya pergi kerana bimbang dia akan menggunakan kebebasan untuk mengecam rejim Komunis China. –  AFP, 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen