Empat lagi budak bola terperangkap gua di Thailand dikeluarkan


Empat lagi budak bolasepak di Thailand yang terperangkap dalam gua di Chiang Rai, dekat sempadan dengan Myanmar, dikeluarkan hari ini dalam misi menyelamat yang berisiko tinggi tetapi setakat ini berjalan lancar, lapor media negara itu.– Gambar AFP, 9 Julai, 2018.

EMPAT lagi budak bolasepak di Thailand yang terperangkap dalam gua di Chiang Rai, dekat sempadan dengan Myanmar, dikeluarkan hari ini dalam misi menyelamat yang berisiko tinggi tetapi setakat ini berjalan lancar, lapor media negara itu.

Budak kelapan dibawa keluar pukul 6.59 malam waktu tempatan (7.59 malam waktu Malaysia), selepas tiga yang lain dibawa keluar antara pukul 4.45 dan 6.30 petang. Semalam, empat budak diselamatkan selepas terperangkap di gua yang dinaiki air itu sejak 23 Jun lalu.

Lima lagi mangsa yang terperangkap termasuk jurulatih mereka sedang diusahakan untuk dibawa keluar.

Setiap seorang mangsa dibawa keluar oleh dua pakar selam dan selepas itu dipindahkan segera ke hospital di Chiang Rai, kira-kira 60km dari tempat kejadian.

CNN melaporkan operasi menyelamat hari ini telah dihentikan dan akan bersambung esok.

Operasi menyelamat yang jadi perhatian dunia ini melibatkan lebih 90 pakar selam. 

Kerja-kerja mengeluarkan mereka yang terperangkap di gua itu diusahakan oleh 13 penyelam dari luar negara dan lima penyelam tentera laut Thailand.

Jumaat lalu, seorang bekas tentera laut yang jadi sukarelawan penyelamat meninggal dunia selepas kehabisan oksigen ketika berpatah balik selepas menghantar bantuan kepada mangsa.

Kumpulan pelajar dan jurulatih bolasepak itu terperangkap selepas mereka turun ke gua berkenaan yang kemudiannya dinaiki air, sesudah habis latihan bolasepak pada 23 Jun lepas. – 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen