Gangster maut ditembak dalam penjara di India


Seorang gengster maut ditembak ketika berada dalam penjara di Uttar Pradesh utara India, menurut sumber polis.– Gambar AFP, 9 Julai, 2018

SEORANG gengster maut ditembak ketika berada dalam penjara di Uttar Pradesh utara India, menurut sumber polis.

Mangsa dikenali Munna Bajrangi ditembak mati di penjara Baghpat kira-kira pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) pada Isnin.

Seorang pegawai polis berkata, Bajrangi ditembak banduan dikenali Sunil Rathiat, sehari selepas mangsa dipindahkan dari penjara di Jhansi.  

Menurut pegawai polis berkenaan, Bajrangi dijadualkan akan dibicarakan di mahkamah atas tuduhan membunuh seorang ahli Parlimen dari Parti Bhartiya Janata (BJP).

Berikutan pembunuhan itu, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath mengarahkan siasatan dijalankan.

“Ketua Menteri telah mengarahkan siasatan dijalankan. Pegawai penjara telah digantung dan mereka yang bertanggung jawab akan berdepan tindakan undang-undang,” kata seorang pegawai di pejabat daerah.

Di samping itu, pihak berkuasa juga telah mengarahkan pasukan siasatan khas ke penjara berkenaan untuk mengumpul bukti. 

Isteri mangsa, Seema Singh mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan membabitkan suaminya. 

Pada tahun 2009, Bajrangi ditangkap pegawai khas dari polis New Delhi berhubung pembunuhan ahli parlimen Krishnanand Rai.

Sementara itu, parti pembangkang menyifatkan “undang-undang dan pentadbiran kerajaan sangat lemah”.– Bernama, 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen