PERDANA Menteri Britain, Theresa May, berhadapan krisis dalam Kabinetnya hari ini susulan peletakan jawatan menterinya, David Davis, dan dua timbalan berhubung rancangan mengekalkan ikatan ekonomi kukuh dengan Kesatuan Eropah (EU) walaupun selepas meninggalkan blok itu.
Semua pihak menantikan sama ada akan berlaku lagi peletakan jawatan oleh penyokong Brexit yang akan mengancam kepemimpinan May selepas timbalan menteri, Suella Braverman dan Steve Baker dilaporkan mengikut jejaknya.
Namun Davis menegaskan beliau tidak mahu kepemimpinan May tumbang, memberitahu radio Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) “sudah tentu” May akan bertahan.
Ditanya sama ada akan wujud pemberontakan terhadap May, beliau berkata: “Saya tidak menggalakkan berbuat demikian. Ia bukan perkara betul untuk dibuat.”
Beliau juga menambah tidak akan bertanding untuk menerajui Parti Konservatif pada masa depan.
Davis dilantik dua tahun lalu untuk mengetuai Jabatan bagi Menarik Diri dari Kesatuan Eropah yang baru ditubuhkan selepas penduduk Britain mengundi meninggalkan blok itu dalam pungutan suara.– AFP, 9 Julai, 2018.
Komen